myspace tracker Ustaz Don Daniyal Dilantik Sebagai Duta Kebaikan Alkhair Malaysia – My Blog

Ustaz Don Daniyal Dilantik Sebagai Duta Kebaikan Alkhair Malaysia

Kuala Lumpur, 23 Januari 2025 – Pertubuhan Al-Khair Malaysia dalam satu majlis yang berlangsung kelmarin telah mengumumkan pelantikan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai Duta Kebaikan Alkhair bagi tahun 2025. Pelantikan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025.

Tujuan pelantikan ini adalah untuk memperkukuhkan lagi usaha Alkhair Malaysia dalam memperkenalkan organisasi tersebut kepada masyarakat secara lebih meluas. Sebagai Duta Kebaikan, Ustaz Don Daniyal akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai aktiviti kemanusiaan Alkhair dan menyampaikan mesej kebaikan kepada komuniti tempatan serta antarabangsa.

Sebagai simbolik pelantikan, satu sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan yang disempurnakan oleh Pengerusi Alkhair Malaysia, Ustaz Azfar Abdullah, bersama Ustaz Don Daniyal.

Majlis ini turut dijangka membuka peluang bagi kedua-dua pihak untuk berkongsi visi serta misi dalam menyebarkan mesej kebaikan dan memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk terlibat dalam usaha-usaha kebajikan.

Pertubuhan Al-Khair Malaysia merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan pada tahun 2024 dengan objektif menjalankan kerja-kerja kebajikan dan misi kemanusiaan di dalam negara serta luar negara.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web: www.alkhair.my

About admin