myspace tracker “Raya Mana?” Versi Kelantan dari Nabila Razali & Den Manjo – My Blog

“Raya Mana?” Versi Kelantan dari Nabila Razali & Den Manjo

Kuala Lumpur, 26 Mac 2025 – Penyanyi terkenal Nabila Razali kembali meriahkan suasana Aidilfitri dengan lagu raya terbarunya, ‘Raya Mana’ dalam versi Kelantan bersama penyanyi Den Manjo. Versi istimewa ini dihasilkan bagi memenuhi permintaan peminat yang ingin mendengar lagu tersebut dalam loghat negeri Pantai Timur.

Menurut Nabila, dia sedikit gementar untuk menyanyikan versi Kelantan ini kerana tidak begitu fasih dalam loghat tersebut meskipun sudah lebih setahun mendirikan rumah tangga dengan suami yang berasal dari Kelantan.

“Bagi siapa yang menanti lagu ini dalam versi Kelantan bersama Den Manjo, permintaan anda sudah saya tunaikan. Sejujurnya, saya agak gementar untuk menyanyikan lagu ini kerana loghat Kelantan bukanlah bahasa pertama saya. Sampaikan sudah menimang cahaya mata pun saya masih belum fasih berbahasa Kelantan. Tapi tak mengapa, mula-mula menyanyi dahulu, lepas itu mana tahu boleh fasih,” katanya.

Nabila yang juga terkenal dengan lagu Peluang Kedua ini berkongsi pengalaman tersebut ketika ditemui pada sesi rakaman Gempak Jam Session Raya yang berlangsung di Sora Studio baru-baru ini.

Bagi memastikan sebutan yang tepat, Nabila turut mendapatkan bimbingan daripada Den Manjo tentang cara percakapan masyarakat Kelantan supaya nyanyiannya tidak kedengaran canggung.

“Saya tanya sama ada sebutan saya betul atau tidak sebab takut salah. Den pun banyak berkongsi cara pertuturan orang Kelantan. Insya-Allah, saya harap orang Kelantan tidak marah kalau saya tersalah sebut,” tambahnya lagi.

Tahun lalu, lagu ‘Raya Mana’ berjaya menjadi antara lagu raya yang trending dan tular di media sosial. Nabila juga mendapat perhatian ramai apabila mempersembahkan lagu tersebut dalam bahasa isyarat, menjadikannya lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Dengan pelancaran ‘Raya Mana’ versi Kelantan ini, Nabila berharap ia dapat memberikan keceriaan dan menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini!

About admin