myspace tracker MITAF25 Himpunkan Peminat Memanah Tradisional dari Seluruh Dunia – My Blog

MITAF25 Himpunkan Peminat Memanah Tradisional dari Seluruh Dunia

Mutiara Damansara, 12 Mac 2025 – Malaysia International Traditional Archery Festival 2025 (MITAF25) bakal menjadi platform terbesar bagi peminat, pakar, dan atlet memanah tradisional dari seluruh dunia apabila ia berlangsung dari 9 hingga 12 Oktober 2025. Acara berprestij ini akan diadakan di dua lokasi utama, iaitu Royale Chulan Damansara dan Kwasa Damansara, Selangor. Penganjur menjangkakan kehadiran sekitar 2,000 peserta dari lebih 10 negara, menjadikan festival ini antara yang terbesar dalam kalendar sukan memanah tradisional antarabangsa.

MITAF25 bakal menyajikan pelbagai aktiviti menarik sepanjang festival berlangsung. Antara acara utama yang bakal diadakan termasuk Malaysia International Traditional Archery Summit, iaitu satu sidang ilmiah yang menghimpunkan profesional, akademik, dan pengamal sukan memanah tradisional di Royale Chulan Damansara. Sidang ini akan menampilkan perbincangan utama mengenai seni, budaya, dan evolusi sukan ini dalam pelbagai tamadun.

Selain itu, MITAF International Youth Championship (Cilik) akan menjadi platform bagi pemanah muda untuk mempamerkan bakat serta melahirkan generasi baharu dalam sukan ini. Malaysia Open Championship pula terbuka kepada semua pemanah, meraikan serta memelihara warisan memanah tradisional Malaysia yang kaya dengan sejarah dan budaya. Dalam usaha mengeratkan hubungan antara negara-negara ASEAN, kejohanan ASEAN Collaboration of Traditional Archery (ACTA) Tournament turut akan diadakan sebagai satu pertandingan khas peringkat serantau.

Lebih daripada sekadar sebuah pertandingan, MITAF25 juga berfungsi sebagai satu perayaan budaya dan sukan yang menonjolkan kepentingan sejarah serta keindahan seni memanah tradisional. Festival ini turut diharapkan dapat memupuk semangat perpaduan antarabangsa dalam kalangan peserta dan peminat sukan ini dari seluruh dunia.

Maklumat lanjut mengenai penyertaan, penajaan, dan jadual acara akan diumumkan dalam masa terdekat. Orang ramai dijemput untuk turut serta dalam meraikan keindahan tradisi, ketepatan, dan semangat kesukanan dalam MITAF25.

About admin