myspace tracker Kumpulan legenda Toto bakal gegar Malaysia pada 1 Mei ini sempena Dogz of Oz Tour – My Blog

Kumpulan legenda Toto bakal gegar Malaysia pada 1 Mei ini sempena Dogz of Oz Tour

KUALA LUMPUR, 18 Mac 2025 – Kumpulan rock legenda dari Amerika Syarikat, Toto yang juga pemenang trofi Grammy Awards sebanyak enam kali serta popular dengan lagu-lagu seperti “Africa”, “Rosanna”, “I’ll Be Over You”, “Hold The Line” dan banyak lagi bakal mengadakan konsert di Malaysia. Dianjurkan oleh UnUsUaL Entertainment, konsert sempena jelajah Toto Dogz of Oz Tour itu bakal menggegarkan Arena of Stars, Resorts World Genting pada 1 Mei ini (Khamis) jam 6 petang.

Sejak ditubuhkan pada 1977 di Los Angeles, Toto muncul sebagai antara kumpulan paling dikenali di dunia selepas mereka terus meraikan kejayaan demi kejayaan. Lagu “Africa” mencatat jualan melebihi 10.5 juta unit dan diiktiraf tahap berlian oleh Persatuan Industri Rakaman Amerika (RIAA). Manakala, “Hold The Line” mencatat tahap tiga platinum apabila terjual sebanyak tiga juta unit dan “Rosanna” di tahap dua platinum dengan jualan sebanyak dua juta unit.

Toto yang kini dianggotai Steve Lukather (gitar, penyanyi) dan Joseph Williams (penyanyi) akan turut disertai Greg Phillinganes (keyboard, penyanyi), Shannon Forrest (dram), John Pierce (bass), Warren Ham (seksofon, perkusi, penyanyi) dan Dennis Atlas (keyboard, penyanyi) dalam konsert jelajah ini.
Secara individu dan kolektif, lagu-lagu kumpulan ini dapat didengar dalam album-album yang memenangi Grammy Awards yang tidak terbilang, merentasi semua genre, menjadikan Toto antara kumpulan era 70-an yang berjaya menempuh perubahan trend dan gaya sambil terus kekal relevan.

Lagu-lagu Toto distrim kira-kira tiga juta kali sehari di Spotify oleh peminat yang ‘semakin muda’. Hingga hari ini, penstriman untuk lagu “Africa” sudah mencecah dua bilion, manakala “Hold The Line” sudah distrim lebih satu billion kali di platform itu. Lebih 50 peratus penstriman untuk lagu-lagu Toto daripada pendengar berusia 34 tahun ke bawah, dan 20 peratus daripada keseluruhannya daripada mereka yang berusia 25 tahun ke bawah. Jumlah keseluruhan penstriman untuk Toto di Spotify sudah melebihi empat billion dan enam bilion di semua platform.

Tiket berharga RM988 (VIP), RM788 (PSI), RM588 (PS2), RM388 (PS3) dan RM188 (PS4) (tertakluk kepada caj pemprosesan RM4) akan mula dijual mulai 21 Mac ini (Jumaat) mulai jam 12 tengah hari menerusi rwgenting.com.

Toto Dogz of Oz Tour dibawa kepada anda oleh UnUsUaL Entertainmment dan disokong oleh KXL Crossover. Resorts World Genting adalah lokasi acara rasmi dan Lite FM sebagai rakan media rasmi.
Maklumat lanjut, sila layari totoofficial.com
Maklumat Konsert
Toto Dogz of Oz Tour
Tarikh: 1 Mei 2025 (Khamis)
Masa: 6 petang
Tempat : Arena of Stars, Resorts World Genting
Harga Tiket : RM988 (VIP), RM788 (PS1), RM588 (PS2), RM388 (PS3), RM188 (PS4) (tertakluk kepada caj pemprosesan RM4)
Beli Di: rwgenting.com

About admin