Snow White adalah salah satu remake live-action yang patut diberi perhatian, terutama dalam kalangan peminat filem Disney. Dengan sentuhan baru dan perspektif yang lebih segar, filem ini mampu menarik minat penonton dari semua peringkat umur. Diarahkan oleh Marc Webb, Snow White tetap menghormati akar umbi cerita asal namun memberikan interpretasi yang lebih moden dan relevan dengan perkembangan semasa.
Marc Webb, yang terkenal dengan debut pengarahannya dalam filem 500 Days of Summer pada tahun 2009, membawa kemahiran pengarahannya yang unik ke dalam Snow White. Sebelum meneruskan kerjayanya dalam dunia filem, Webb terkenal dengan arahannya terhadap banyak video muzik untuk band-band terkenal seperti Good Charlotte, Evanescence, AFI, 3 Doors Down, Green Day, My Chemical Romance, dan Snow Patrol. Pengalaman ini jelas memberi impak dalam visual dan penggambaran filem Snow White, memberikan sentuhan yang berbeza namun menarik.

Rachel Zegler yang memegang watak utama sebagai Snow White, membawa wataknya dengan penuh kredibiliti dan kecemerlangan. Caranya menjiwai watak Snow White jauh lebih baik berbanding beberapa watak princess Disney yang pernah dibawa oleh pelakon lain dalam remake live-action sebelum ini. Jika dibandingkan dengan Emma Watson yang memegang watak Belle dalam Beauty and the Beast atau Halle Bailey dalam The Little Mermaid, Zegler menunjukkan kehebatan dalam bidang lakonan yang membuatkan penonton benar-benar percaya pada karakter Snow White yang diciptakannya. Tidak hanya sekadar cantik, tetapi Zegler membawa Snow White dengan keperibadian yang kuat dan penuh daya tarik.
Kehadiran orang kerdil (Seven Dwarfs) dalam filem ini juga tidak kurang menarik. CGI yang digunakan untuk mencipta mereka tampak begitu realistik dan memuaskan. Mereka diberikan ruang yang mencukupi untuk bersinar, dengan screen time yang seimbang, menjadikan mereka bukan sekadar sekumpulan watak latar, tetapi juga elemen penting dalam perkembangan cerita.
Namun, satu kelemahan yang jelas terzahir dalam filem ini adalah watak Evil Queen yang dimainkan oleh Gal Gadot. Meskipun Gadot terkenal dengan lakonannya dalam filem aksi, watak Evil Queen dalam Snow White terasa agak satu dimensi dan tidak cukup mendalam. Penghayatannya dalam memegang karakter antagonis ini tidak mampu mencapai potensi penuh yang diharapkan oleh penonton.

Secara keseluruhan, Snow White memberikan pengalaman menonton yang menyenangkan dan menghiburkan. Dengan pengarah yang tepat, barisan pelakon yang berbakat, serta visual yang memukau, filem ini pasti akan menjadi kegemaran ramai, terutamanya bagi peminat Disney dan mereka yang ingin menikmati sebuah filem yang membawa elemen klasik ke dalam dunia moden.
Dengan skor 7.5/10, Snow White adalah filem yang sangat disarankan untuk ditonton.