myspace tracker Insaf Malaysia Kembali Lancarkan Program Beras Amal Sekampit Beras Satu Keluarga – My Blog

Insaf Malaysia Kembali Lancarkan Program Beras Amal Sekampit Beras Satu Keluarga

Kuala Lumpur, 24 Januari – Pertubuhan Bantuan Teknikal Insaf Malaysia (Insaf Malaysia) yang ditubuhkan pada tahun 2009, kini kembali memperkenalkan semula Program Beras Amal Sekampit Beras Satu Keluarga (SBSK) dengan sasaran golongan asnaf, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, dan rumah kebajikan.

Menurut Presiden dan Pengasas Insaf Malaysia, Ishak Abdul Kadir, program SBSK dimulakan secara kecil-kecilan dan bertambah besar beberapa tahun sebelum pandemik COVID-19. Pada masa itu, Insaf Malaysia berjaya mengumpul sebanyak 15 tan beras. Namun, akibat pandemik, program tersebut terhenti. Tahun lalu, Insaf Malaysia kembali melaksanakannya secara kecil-kecilan, dan pada tahun ini, mereka bercadang untuk memperluaskan lagi kutipan beras.

Ishak menjelaskan, objektif utama SBSK dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu pertiga beras akan disalurkan untuk program Dapur Insaf, satu pertiga lagi untuk sekolah-sekolah, dan satu pertiga lagi untuk golongan OKU, warga emas, dan masyarakat memerlukan. Dapur Insaf menyediakan makan tengah hari kepada murid-murid sekolah dari Isnin hingga Jumaat dengan jumlah 200 hingga 250 pelajar di kawasan Kuala Lumpur dan Setiawangsa. Selain itu, Dapur Insaf turut beroperasi di Pulau Pinang sejak lima tahun lepas.

Di samping menyediakan makanan, Insaf Malaysia juga memberi bantuan berupa barangan makanan seperti beras, minyak masak, dan kicap melalui program foodbank yang dilaksanakan di sekolah-sekolah. Ishak turut menyentuh tentang kesukaran untuk mendapatkan beras pada masa kini kerana sekatan pembelian dan harga yang meningkat. Oleh itu, Insaf Malaysia berharap untuk mengumpul 30 tan beras tahun ini untuk disalurkan kepada tiga pusat Dapur Insaf yang terletak di Selangor, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang.

Insaf Malaysia juga menyediakan tiga pusat kutipan di Taman Seputeh, Taman Setiawangsa, dan Perda, Pulau Pinang, di mana orang ramai boleh menyumbang beras. Selain itu, penyumbang juga boleh membuat sumbangan kewangan melalui pindahan wang menggunakan QR Code akaun Maybank Insaf Malaysia (562188306090).

Program SBSK ini pertama kali dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang dan telah berkembang menjadi satu inisiatif besar yang melibatkan empat program tanggungjawab sosial korporat (CSR), iaitu cermin mata, makan tengah hari, farmasi, dan foodbank.

Sebagai tambahan, Insaf Malaysia akan menjalin kerjasama dengan IRAMA Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) untuk membantu golongan masyarakat termasuk penggiat seni. Sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani dengan Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid, untuk agihan beras kepada golongan sasaran.

Program SBSK dijangka dilaksanakan sepanjang tahun, dengan kutipan utama dilakukan pada bulan Rejab, Syaaban, dan Ramadan. Selain itu, pelbagai aktiviti kebajikan akan terus dijalankan sepanjang tahun, termasuk program berbuka puasa dan agihan bubur lambuk sempena bulan Ramadan.

About admin